Srikandi Malaysia raikan 200 anak yatim
Tidak sampai dua minggu lagi untuk umat Islam di negara ini menyambut ketibaan Aidilfitri untuk tahun 2015 bersamaan 1436 Hijrah.
Pastinya ketika ini, tidak kira lapisan umur, masyarakat sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya sebagai tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Namun dalam kita semua bergembira menyambut ketibaan 1 Syawal, pasti ada golongan yang berduka atau berada dalam kekurangan terutamanya bagi anak-anak yatim yang kematian ayah atau ibu.
Justeru, bagi meraikan dan tidak melupakan mereka, program tahunan Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia) diteruskan lagi menerusi penganjuran Program Amal Srikandi - Moreh/Sahur 2015 dan penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim pada malam Jumaat lalu.
Presiden Srikandi Malaysia, Norashikin Abdul Ghani berkata, program yang diadakan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) turut mengajak golongan selebriti bersahur bersama golongan yang kurang bernasib baik itu.
"Tahun ini merupakan kali kelima kami menganjurkan program moreh dan sahur yang bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim yang kurang bernasib baik dengan melibatkan golongan selebriti.
"Dengan memilih lokasi yang tidak asing lagi di tengah-tengah ibu kota iaitu Jalan TAR, kami mahu memberi suasana kemeriahan menyambut Aidilfitri buat anak-anak yatim bagi menghilangkan kesedihan mereka.
"Srikandi Malaysia kali ini membawa seramai 200 orang anak yatim yang tidak bernaung di bawah mana-mana rumah kebajikan tetapi di bawah jagaan ahli keluarga terdekat untuk sama-sama menikmati kemeriahan majlis amal ini," katanya kepada MalaysiaGazette.
Ahmad Maslan (dua dari kanan) menyampaikan hamper kepada anak yatim pada Program Amal Srikandi - Moreh/Sahur 2015.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan Malaysia merangkap Penasihat Kehormat Srikandi Malaysia, Datuk Ahmad Maslan yang sanggup 'turun padang' untuk beramah mesra bersama anak yatim, selebriti dan peniaga-peniaga di sekitar Jalan TAR.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang majlis amal itu antaranya seperti persembahan artis, aktiviti permainan antara anak-anak yatim bersama artis terpilih serta sesi penyampaian sumbangan dan pemberian duit raya, hamper, cenderahati serta barang-barangan keperluan harian untuk membantu meringankan beban anak-anak yatim.
Menerusi kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, program amal turut mendapat perhatian ramai penaja seperti JW Marriot Kuala Lumpur, Jakel, Bintai, Muaz Textile, Harimau Bukit, Star Point Hotel dan MYDIN Kuala Lumpur yang sudi menghulurkan sumbangan berbentuk cenderahati kepada anak-anak yatim.
Srikandi Malaysia adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan misi dan visi untuk menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan.
Penubuhan Srikandi Malaysia adalah untuk menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang berlandaskan nilai-nilai murni dan berteraskan prinsip dakwah dan tarbiyah sebagai teras utama pergerakan pertubuhan dalam membantu mereka yang memerlukan. - Malaysia Gazette



0 comments :
Post a Comment